Soalan-Soalan Lazim

PENDAHULUAN

Pesuruhjaya Sumpah adalah merupakan orang yang dilantik oleh YAA Ketua Hakim Negara di bawah seksyen 11 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Kaedah-kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993.
Unit yang menguruskan Pesuruhjaya Sumpah di seluruh Malaysia adalah Unit Pesuruhjaya Sumpah, Bahagian Pejabat Ketua Hakim Negara dan Penyelidikan Mahkamah Persekutuan Malaysia, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia.
Objektif Unit Pesuruhjaya Sumpah adalah menguruskan hal ehwal Pesuruhjaya Sumpah di seluruh Malaysia dengan efisien, cekap dan teratur dalam memastikan keberkesanan tugas-tugas yang dipikul oleh Pesuruhjaya Sumpah yang terlibat secara tidak langsung mendukung sistem kehakiman di Negara ini.
Piagam pelanggan Pesuruhjaya Sumpah adalah:-
  1. Memberi perkhidmatan berlandaskan peruntukan Kaedah-kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993 dan arahan-arahan berkaitannya.
  2. Memastikan semua pelanggan dilayan dengan kadar yang segera, munasabah, cekap dan sistematik.
  3. Memastikan perkhidmatan Pesuruhjaya Sumpah yang ditawarkan dijalankan dengan penuh berintegriti.
Undang-undang yang mentadbir serta mengawal kelakuan serta tugas-tugas Pesuruhjaya Sumpah adalah Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993 manakala Kod Etika Pesuruhjaya Sumpah Malaysia pula memerihalkan berkenaan etika dan tatakelakuan yang seharusnya diamalkan oleh seseorang Pesuruhjaya Sumpah.

PERMOHONAN DAN PELANTIKAN PESURUHJAYA SUMPAH (PJS)

Kaedah 2, Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993 menetapkan syarat-syarat berikut:-
  1. Seorang warganegara Malaysia;
  2. Telah mencapai umur 21 tahun tetapi belum mencapai umur 65 tahun;
  3. Seorang yang berkelakuan baik;
  4. Fasih dalam Bahasa Malaysia;
  5. Sihat dari segi fizikal dan mental;
  6. Tidak pernah disabitkan di Malaysia atau di tempat lain atas suatu kesalahan jenayah yang melibatkan frod, kecurangan atau keburukan akhlak; dan
  7. Tidak pernah dihukum menjadi bankrap.
Kaedah 3, Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993 memperuntukkan tiga (3) kategori orang yang boleh dilantik sebagai Pesuruhjaya Sumpah iaitu:-
  1. Seorang peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi di Malaya atau Mahkamah Tinggi di Borneo yang telah menjalankan amalan selama tujuh tahun;
  2. Seorang pegawai awam yang disahkan dalam jawatannya;
  3. Seorang yang mempunyai kelayakan minimum SPM atau yang setara dengannya DAN mempunyai pengalaman kerja yang berkaitan.
Selain daripada memenuhi syarat-syarat di dalam Kaedah 2 dan Kaedah 3, Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993, pelantikan seseorang Pesuruhjaya Sumpah juga akan mengambil kira keperluan di sesuatu kawasan dengan melihat kepada jumlah penduduk, keluasan kawasan, kewujudan pejabat-pejabat kerajaan dan jumlah Pesuruhjaya Sumpah sedia ada. Sekiranya tiada keperluan di sesuatu tempat tersebut, seseorang pemohon tidak akan dipertimbangkan sekalipun memenuhi syarat kelayakan di dalam Kaedah 2 dan Kaedah 3 Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993.
Berdasarkan Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993, tiada dinyatakan tarikh tutup permohonan. Semua permohonan yang diterima akan dinilai terlebih dahulu dari segi kelayakan dan sama ada terdapat keperluan di tempat yang dicadangkan tersebut. Calon yang memenuhi dua aspek tersebut akan dipanggil untuk menduduki peperiksaan sebelum proses temuduga manakala calon yang tidak layak dipertimbangkan akan dimaklumkan melalui surat.
Borang permohonan untuk menjadi Pesuruhjaya Sumpah boleh didapati dari laman sesawang Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia pada pautan awam, klik disini
Borang permohonan yang telah lengkap diisi perlu dihantar ke alamat berikut:-
Unit Pesuruhjaya Sumpah,
Mahkamah Persekutuan Malaysia,
Istana Kehakiman, Bangunan Annex, Presint 3,
62506 PUTRAJAYA.
No.Telefon: 03-88804040
Sekiranya PJS awam mahupun PJS persendirian yang dilantik atas kapasiti Jabatan seperti LHDN akan atau telah berpencen, individu tersebut masih perlu melalui proses yang sama sebagaimana permohonan baru calon persendirian iaitu calon tersebut masih perlu untuk menduduki peperiksaan dan temuduga.

BAYARAN/YURAN PELANTIKAN SEBAGAI PESURUHJAYA SUMPAH

Bagi seseorang PJS yang dilantik daripada kategori peguambela dan peguamcara serta orang lain (persendirian), mereka hendaklah membayar yuran pelantikan iaitu sebanyak RM120 setahun atau RM10 sebulan atau sebahagian daripada sebulan. Tiada bayaran akan dikenakan bagi pelantikan Pesuruhjaya Sumpah kategori pegawai awam sebaliknya mereka akan dibayar elaun bulanan sebanyak RM120 sebulan.

TEMPOH LANTIKAN

Semua kategori Pesuruhjaya Sumpah boleh dilantik dan dilantik semula untuk suatu tempoh yang tidak melebihi dua tahun. Permohonan pelantikan semula perlu dibuat sekurang-kurangnya sebulan sebelum tempoh lantikan semasa tamat.

ALAMAT PERNIAGAAN

Alamat perniagaan mestilah di alamat yang telah diluluskan oleh YAA Ketua Hakim Negara dan seseorang Pesuruhjaya Sumpah hanya dibenarkan untuk menjalankan perniagaannya di alamat yang telah diluluskan. Tempat perniagaan yang akan diluluskan mestilah memenuhi ciri-ciri sebuah pejabat. Pesuruhjaya Sumpah yang akan dilantik tidak dibenarkan untuk menjalankan perniagaannya di bawah pokok, di bawah tangga, kedai-kedai makan ataupun tempat-tampat lain yang dikategorikan sebagai tidak sesuai dan tidak memenuhi maksud sebuah pejabat.
Menurut Kaedah 15, Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993, seseorang PJS tidak boleh menukar alamat perniagaannya sehingga mendapat kebenaran bertulis daripada YAA Ketua Hakim Negara.
Pertukaran alamat tidak dibenarkan bagi calon yang baru sahaja lulus dan dilantik sebagai Pesuruhjaya Sumpah bagi sekurang-kurangnya untuk tempoh lantikan pertama. Akan tetapi, sekiranya terdapat keperluan bertukar ke alamat baru yang dicadangkan, permohonan tersebut boleh dipertimbangkan.

TEMPAT DAN MASA OPERASI

Perkhidmatan Pesuruhjaya Sumpah boleh didapati di Mahkamah-mahkamah terdekat dan di sebahagian pejabat kerajaan lain, peguam serta Pesuruhjaya Sumpah persendirian. Carian Pesuruhjaya Sumpah boleh dibuat di Klik disini
Masa operasi Pesuruhjaya Sumpah awam di pejabat kerajaan adalah sama seperti waktu operasi pejabat biasa akan tetapi bergantung kepada kaunter kewangan di sesuatu pejabat. Bagi Pesuruhjaya Sumpah persendirian dan peguam, mereka mempunyai waktu operasi sendiri dan waktu operasi tersebut perlulah tetap dan munasabah.
Menurut Kaedah 13(2)(g) Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993, seseorang Pesuruhjaya Sumpah perlu memberikan perkhidmatannya pada waktu yang tetap dan munasabah. Secara asasnya, pemahaman terhadap peruntukan ini adalah, waktu operasi seseorang Pesuruhjaya Sumpah adalah sama seperti waktu pejabat kerajaan beroperasi. Sekiranya seseorang Pesuruhjaya Sumpah ingin beroperasi pada waktu selain dari masa pejabat kerajaan beroperasi, Pesuruhjaya Sumpah perlu memohon kepada Ketua Hakim Negara terlebih dahulu.
Pesuruhjaya Sumpah persendirian tidak perlu memohon cuti akan tetapi WAJIB memaklumkan kepada Unit Pesuruhjaya Sumpah melalui emel sekiranya mereka ingin bercuti dan perlulah menampal notis tempoh bercuti dan tarikh beroperasi semula sebagai makluman kepada orang awam.

KUASA-KUASA PESURUHJAYA SUMPAH

Kuasa-kuasa Pesuruhjaya Sumpah kategori peguambela dan peguamcara diperuntukkan di bawah Kaedah 11 Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993.
Berikut adalah kuasa-kuasa Pesuruhjaya Sumpah kategori peguambela dan peguamcara namun tertakluk kepada batasan pelantikannya:
  1. menerima akuterimaan perempuan bersuami dalam semua hal jika akuterimaan dikehendaki oleh undang-undang supaya diambil di hadapan seorang pegawai awam;
  2. menerima akuterimaan ikatan jaminan atau bon jaminan;
  3. mengendalikan sumpah untuk-
    1. justifikasi jaminan;
    2. mengambil apa-apa afidavit atau ikrar;
    3. menerima dan mengambil jawapan, rayuan, demurer, penolak tuntutan, pengataan atau pemeriksaan mana-mana pihak atau pihak-pihak dalam apa-apa tindakan;
    4. pemeriksaan mana-mana saksi atas apa-apa interogatori atau de bene esse atau pemeriksaan utama atau pada mana-mana keadaan lain;
    5. sumpah wasi-wasi dan pentadbir-pentadbir; dan
    6. sumpah orang-orang dalam apa-apa tindakan, perkara atau prosiding yang menunggu penyelesaian atau hampir hendak dimulakan dalam mana-mana mahkamah; dan
  4. mengambil dan menerima akuan berkanun: Dengan syarat bahawa seseorang peguambela dan peguamcara tidak boleh menjalankan apa-apa fungsi yang dinyatakan dalam perenggan (a) hingga (d) berkenaan dengan mana-mana orang yang terlibat dalam mana-mana prosiding mahkamah yang diwakili oleh peguambela dan peguamcara itu atau firmanya.
Kuasa-kuasa Pesuruhjaya Sumpah kategori pegawai awam atau orang lain yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Sumpah diperuntukkan di bawah Kaedah 12 Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993. Berikut adalah kuasa-kuasa Pesuruhjaya Sumpah kategori pegawai awam dan orang lain:
  1. Mengendalikan sumpah untuk-
    1. justifikasi jaminan;
    2. mengambil apa-apa afidavit atau ikrar;
    3. sumpah wasi-wasi dan pentadbir-pentadbir; dan
    4. sumpah orang-orang dalam apa-apa tindakan, perkara atau prosiding yang menunggu penyelesaian atau hampir hendak dimulakan dalam mana-mana mahkamah; dan
  2. Mengambil dan menerima akuan berkanun:
Dengan syarat bahawa seseorang pegawai awam atau orang lain yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Sumpah tidak boleh menjalankan apa-apa fungsi yang dinyatakan dalam perenggan (a) dan (b) berkenaan dengan mana-mana dokumen yang disediakan olehnya.
Kelakuan dan tugas-tugas Pesuruhjaya Sumpah diperuntukkan di bawah Kaedah 13 Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993.
  1. Memakai teg pengenalan semasa menjalankan tugas.
  2. Seseorang Pesuruhjaya Sumpah hendaklah melayan sendiri deponen-
    1. menentusahkan identiti, butir-butir peribadi sebagaimana yang diberikan dalam kad pengenalan atau pasport, dan alamat orang yang membuat akuan, ikrar, afidavit, sumpah atau pernyataan di hadapan Pesuruhjaya itu;
    2. membaca dan menerangkan kandungan dokumen dan ekshibit yang dikepilkan bersama dokumen itu, jika deponen atau pembuat dokumen itu buta, buta huruf atau tidak memahami bahasa yang tertulis dalam dokumen itu, sebelum memperakui bahawa dia telah berbuat demikian di dalam jurat;
    3. menandatangani ringkas apa-apa perubahan yang dibuat dalam dokumen yang hendak dipersumpahkan atau diikrarkan;
    4. tidak mengecapkan meterainya pada mana-mana dokumen melainkan jika deponen atau pembuat dokumen telah menandatangani atau mengecapkan cap jarinya pada dokumen itu di hadapannya;
    5. enggan memberikan perkhidmatan jawatannya apabila Pesuruhjaya itu mempunyai sebab untuk mengesyaki bahawa mana-mana orang di hadapannya adalah terlibat dalam perdayaan, frod, dures, atau apa-apa kelakuan lain yang menyalahi undang-undang;
    6. menjalankan fungsi-fungsi jawatannya dengan segera, munasabah dan cekap serta sistematik; dan
    7. bersedia menjalankan semua fungsi jawatannya pada waktu yang tetap dan munasabah.
Surat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia bertarikh 3 November 2015 melarang seseorang Pesuruhjaya Sumpah untuk menjadi saksi kepada mana-mana dokumen melainkan dibenarkan oleh undang-undang. Buat masa kini hanya empat (4) undang-undang yang membenarkan seseorang PJS untuk menjadi saksi iaitu:-
  1. Borang 1 dan 2 di bawah Seksyen 3 (Jadual Pertama) Akta Surat Kuasa Wakil 1949
  2. Perjanjian Pinjaman di bawah Seksyen 27(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951
  3. Perjanjian di bawah Seksyen 22 Akta Sewa Beli 1967
  4. Seksyen 97 Ordinan Tanah Negeri Sabah
Pesuruhjaya Sumpah tidak dibenarkan untuk mengakui sah sesuatu dokumen sepertimana surat Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya bertarikh 13 Jun 2005. Namun begitu, Pesuruhjaya Sumpah adalah dibenarkan untuk menerima akuan berkanun yang ditandatangani sendiri oleh pemilik dokumen yang mengakui bahawa salinan dokumen tersebut adalah benar. Dokumen tersebut tidak boleh dicop dengan apa-apa meterai termasuklah meterai PJS. Sekiranya ianya ditandakan sebagai eksibit, bayaran bagi eksibit boleh dikenakan kepada deponen.

PENGENALAN IDENTITI DEPONEN

Ya. Apa-apa dokumen pengenalan diri boleh digunakan untuk menetusahkan identiti seseorang deponen sekalipun Kaedah 13(2)(a) Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993 hanya menyebut berkenaan dengan kad pengenalan dan pasport. Matlamat peruntukan ini adalah untuk menentusahkan identiti bahawa orang yang hadir di hadapan PJS adalah orang yang seperti tercatit di dalam surat akuan tersebut. Untuk menentusahkan identiti seseorang, banyak dokumen yang boleh digunakan termasuklah dokumen lain selain dari kad pengenalan dan pasport seperti kad UNHCR, lesen, kad pelajar, kad pelarian dan sebagainya. Akan tetapi, PJS perlu memastikan kad yang ditunjukkan sebagai pengenalan diri adalah tidak diragui ketulenan dan kebenarannya. Antara perkara yang perlu dipastikan di dalam kad tersebut adalah gambar deponen, nama penuh, nombor pengenalan dan alamat deponen.

DEPONEN ATAU WAKIL DEPONEN

Sesiapa yang ingin menandatangani sesuatu dokumen perlu hadir sendiri di hadapan Pesuruhjaya Sumpah. Pesuruhjaya Sumpah tidak boleh menurunkan tandatangan dan cop meterainya melainkan selepas deponen menurunkan tandatangannya di hadapannya. Perkara ini diperuntukkan di dalam Kaedah 13(2)(d) Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993.
Tidak boleh. Hanya penama di dalam sesuatu surat akuan sahaja yang dibenarkan untuk menurunkan tandatangan di dokumen tersebut. Seseorang yang mempunyai surat kuasa wakil untuk bertindak bagi seseorang adalah tidak dibenarkan untuk menandatangani sesuatu surat akuan sekiranya surat akuan tersebut bukan atas nama beliau.
Sekiranya sesuatu surat akuan perlu ditandatangani oleh ramai deponen, maka kesemua deponen perlu hadir di hadapan Pesuruhjaya Sumpah untuk menandatangani surat tersebut. Wakil adalah tidak dibenarkan untuk mewakili mana-mana deponen lain kerana Pesuruhjaya Sumpah perlu menerangkan dan memastikan kandungan surat tersebut kepada setiap deponen. Pesuruhjaya Sumpah juga perlu memastikan bahawa tidak ada unsur perdayaan, frod, dures dan sesuatu yang menyalahi undang-undang di dalam akuan tersebut.
Boleh. Akan tetapi Pesuruhjaya Sumpah tidak boleh menurunkan tandatangan dan cop meterainya sehingga kesemua deponen telah menurunkan tandatangannya di hadapannya.
Ya. Semua PJS perlu memastikan perkara sama seperti yang dilakukan ke atas deponen dewasa. Sebagai tambahan daripada itu, Pesuruhjaya Sumpah perlu memastikan bahawa kanak-kanak tersebut benar-benar faham akan perkara yang ingin diikrarkan dan kanak-kanak tersebut perlu hadir bersama waris beliau. Namun begitu, sekiranya perkara yang hendak diikrarkan tersebut dilihat tidak memberi kebaikan kepada kanak-kanak, maka adalah dinasihatkan supaya Pesuruhjaya Sumpah tidak menandatangani akuan tersebut dan menolaknya selaras dengan Kaedah 13(2)(e) Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993.
Sekiranya penyakit gila yang dihadapi oleh seseorang deponen itu tidak berterusan, Pesuruhjaya Sumpah perlu memastikan bahawa pada ketika beliau ingin menurunkan tandatangan, beliau berada dalam keadaan waras dan memahami perkara yang ingin diikrarkan. Akan tetapi sekiranya jelas bahawa deponen yang hadir itu menghidapi penyakit gila yang berterusan, Pesuruhjaya Sumpah tidak dibenarkan untuk menandatangani dokumen tersebut.

DEPONEN YANG SAKIT DAN DI DALAM TAHANAN

Ahli keluarga deponen boleh mengemukakan permohonan kepada mana-mana Pesuruhjaya Sumpah untuk memberikan perkhidmatan di hospital atau di pusat tahanan. Permohonan ahli keluarga deponen tersebut perlu dikemukakan bersama-sama dengan permohonan kepada Unit Pesuruhjaya Sumpah untuk menjalankan tugas luar oleh Pesuruhjaya Sumpah dalam tempoh 3 hari bekerja.

PENGISIAN BORANG

Tiada peruntukan berkenaan dengan warna pen dan jenis pen yang perlu digunakan di dalam mengisi surat akuan. Akan tetapi, adalah dinasihatkan supaya borang akuan diisi menggunakan warna pen dan jenis pen yang sama bagi memastikan kandungan dokumen tersebut tidak diragui. Semua dokumen yang diikrarkan adalah tertakluk kepada syarat penerimaan yang ditetapkan oleh sesebuah agensi yang memerlukan dokumen tersebut.
Berdasarkan kepada peruntukan di dalam Kaedah 13(2)(c) Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993, seseorang PJS mestilah menandatangani ringkas bagi apa-apa perubahan yang dibuat di dalam sesuatu dokumen yang hendak diikrarkan. Akan tetapi, sekiranya terlalu banyak pindaan yang hendak dibuat, adalah dinasihatkan supaya deponen membuat surat akuan yang baru bagi memastikan surat akuan yang hendak diikrarkan lebih bersih dan tidak diragui kandungannya.

KEESAHAN SESUATU SURAT AKUAN

Secara asasnya, surat akuan yang diikrarkan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah hanya untuk kegunaan di dalam Negara. Akan tetapi, ianya tidak menghalang sesebuah Negara untuk menerima surat akuan yang diikrarkan oleh seseorang Pesuruhjaya Sumpah Malaysia bergantung kepada peruntukan undang-undang di Negara yang berkenaan.
Surat Akuan sumpah adalah terpakai kepada sesuatu tarikh yang dimaksudkan. Surat akuan ini tidak mempunyai tarikh luput dan boleh digunakan pada bila-bila masa dan akan menjadi bukti kepada sesuatu perkara di dalam suatu tarikh tertentu. Justeru, tarikh surat akuan itu diikrarkan adalah material di dalam setiap perkara yang hendak disumpahkan.

DOKUMEN YANG BOLEH DITANDATANGANI

Seksyen 97 Ordinan Tanah Negeri Sabah membenarkan Pesuruhjaya Sumpah untuk menandatangani dokumen berkaitan tanah negeri Sabah yang dibuat di bawah Ordinan tersebut. Justeru, semua Pesuruhjaya Sumpah dibenarkan untuk menandatangani dokumen berkaitan sekalipun Pesuruhjaya Sumpah tersebut dilantik dan menjalankan perniagaannya di Semenanjung Malaysia.
Semua Pesuruhjaya Sumpah boleh menandatangani semua dokumen yang dibenarkan oleh undang-undang. Akan tetapi mana-mana agensi atau pihak yang memerlukan sesuatu dokumen boleh membataskan siapakah Pesuruhjaya Sumpah yang layak untuk menandatangani dokumen tersebut. Contohnya: Mahkamah Syariah telah menetapkan syarat hanya Pesuruhjaya Sumpah beragama Islam sahaja yang boleh menandatangani dokumen berkaitan Mahkamah Syariah.
Semua Pesuruhjaya Sumpah boleh menandatangani semua dokumen yang dibenarkan oleh undang-undang. Akan tetapi, adalah dinasihatkan agar Pesuruhjaya Sumpah yang beragama Islam mengelakkan daripada menandatangani dokumen tersebut.
Merujuk kepada Bahagian V, Kuasa-Kuasa Pesuruhjaya Sumpah, Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993 (KKPS 1993), hanya Pesuruhjaya Sumpah yang dilantik dari kalangan peguam sahaja yang boleh menandatangani bon jaminan termasuklah bon tanggungrugi seperti mana yang diperuntukan di dalam Kaedah 11(b) KKPS 1993.

PENTADBIRAN PJS

Kaedah 13(2) Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993 menyatakan bahawa seseorang Pesuruhjaya Sumpah hendaklah melayan sendiri mana-mana orang yang menghendaki perkhidmatannya. Justeru, tiada pembantu dibenarkan di dalam menjalankan tugas dan fungsi sebagai seorang Pesuruhjaya Sumpah.
Proviso Kaedah 11 Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993 (KKPS 1993) tidak membenarkan seseorang peguam untuk menjalankan fungsinya sebagai Pesuruhjaya Sumpah bagi prosiding mahkamah yang diwakilinya atau firmanya. Proviso Kaedah 12 KKPS 1993 pula tidak membenarkan Pesuruhjaya Sumpah untuk menjalankan fungsinya sebagai Pesuruhjaya Sumpah bagi dokumen-dokumen yang disediakan olehnya sendiri.
Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993 tidak meletakkan larangan dan arahan terhadap perkara tersebut. Akan tetapi, sekiranya seseorang Pesuruhjaya Sumpah ingin meletakan papan tanda tunjuk arah, Pesuruhjaya Sumpah perlulah mendapat kebenaran daripada pihak berwajib seperti Majlis Perbandaran berkaitan. Papan tanda yang diletakkan juga tidak boleh berlebih-lebihan dari segi saiz dan jumlahnya.
Buku daftar 2015 yang belum habis digunakan boleh digunakan bagi tujuan daftar rekod tahun 2016 dan seterusnya.

COP METERAI

Kaedah 13(2)(c) Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993 (KKPS 1993) hanya menyebut berkenaan dengan tandatangan ringkas oleh Pesuruhjaya Sumpah sekiranya terdapat sebarang pembetulan di dalam sesuatu dokumen dan tidak menyebut berkenaan dengan penggunaan cop meterai kecil bagi sesuatu pembetulan yang dibuat di dalam sesuatu dokumen. Justeru, penggunaan cop kecil adalah tidak dibenarkan sehingga arahan bertulis lanjut dikeluarkan.
Cop meterai seperti di dalam Borang 9 dan Borang 9A hanya menggunakan Bahasa Malaysia. Justeru, penggunaan cop bahasa Inggeris adalah tidak dibenarkan.

JURAT

Jurat adalah pengesahan oleh penterjemah yang ditambah di bahagian bawah sesuatu dokumen sebagai bukti bahawa ianya telah dibaca dan diterangkan kepada seseorang yang hendak mengikrarkan sesuatu tetapi tidak memahami kandungan dokumen tersebut disebabkan kecacatan anggota seperti bisu, pekak, buta ataupun kerana tidak memahami bahasa tertulis ataupun buta huruf.
Pesuruhjaya Sumpah perlu mematuhi Kaedah 13(2)(b) Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993 (KKPS 1993) di dalam mengendalikan deponen buta, bisu, pekak, buta huruf atau apa-apa masalah lain. Pesuruhjaya Sumpah perlu membaca dan menerangkan kandungan dokumen dan eksibit yang dikepilkan bersama dan menggunakan jurat seperti di dalam Borang 6 KKPS 1993. Sekiranya tiada mekanisma untuk memahamkan seseorang deponen berkenaan dengan dokumen yang hendak diikrarkan, maka Pesuruhjaya Sumpah perlu menolak dari menandatangani dokumen tersebut.

SURAT AKUAN

Surat arahan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia bertarikh 3 November 2015 jelas menerangkan bahawa sesuatu surat akuan berkanun hendaklah mengikut format Akta Akuan Berkanun 1960.
Pesuruhjaya Sumpah tidak dibenarkan menandatangani surat akuannya sendiri.
Seseorang Pesuruhjaya Sumpah boleh menandatangani sesuatu dokumen milik ahli keluarganya yang jauh. Akan tetapi, keluarga yang berstatus anak, isteri adalah perlu dielakkan kerana ianya akan membawa kepada tohmahan kerana terdapat konflik kepentingan.
Surat arahan arahan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia bertarikh 3 November 2015 adalah terpakai. Akan tetapi, sekiranya format itu adalah sama cuma tidak dimasukkan dengan perkataan Akta Akuan Berkanun 1960, Pesuruhjaya Sumpah bolehlah menambah perkataan tersebut di tempat yang sepatutnya. Namun begitu, membuat surat akuan baharu adalah pilihan yang lebih baik.
Seseorang Pesuruhjaya Sumpah perlu meneliti setiap dokumen yang dibawa di hadapannya kerana Pesuruhjaya Sumpah perlu memastikan bahawa seseorang deponen memahami kandungan dokumen yang hendak diikrarkan. Pesuruhjaya Sumpah juga perlu memastikan bahawa tidak wujud elemen perdayaan, frod, dures atau perkara yang menyalahi undang-undang di dalam sesuatu akuan.

TEMPAT SUMPAH

Boleh kerana Pesuruhjaya Sumpah dilantik untuk mengesahkan apa-apa dokumen yang dibenarkan oleh undang-undang di Malaysia dan tertakluk kepada kuasa-kuasa Pesuruhjaya Sumpah yang termaktub di dalam Kaedah 11 dan 12 Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993.

BAYARAN SUMPAH

Menurut Kaedah 21 Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993, fi yang dikenakan oleh Pesuruhjaya Sumpah adalah sebanyak RM4.00 (afidavit asal), RM2.00 (salinan afidavit), RM2.00 (eksibit asal) dan RM1.00 (salinan eksibit). Menurut Seksyen 2 Perintah (Bayaran) Akuan Berkanun 1968, fi yang dikenakan adalah sebanyak RM4.00 (akuan) dan RM2.00 (eksibit). Tiada istilah salinan bagi akuan berkanun.

KOS TAMBAHAN

Boleh. Akan tetapi, kos tersebut perlulah munasabah dan perlu mendapat persetujuan deponen terlebih dahulu. Sekiranya deponen tidak bersetuju, maka ianya adalah tidak dibenarkan.
Sebarang bentuk bantuan di dalam penyediaan sesuatu dokumen adalah tidak dibenarkan. Justeru, bayaran terhadap bantuan tersebut juga tidak dibenarkan.
Perkara tersebut tidak diperuntukkan di dalam Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993 (KKPS 1993). Akan tetapi, sekiranya PJS ingin mengenakan bayaran tambahan kerana terpaksa meninggalkan pejabat dalam suatu tempoh dan perlu mengeluarkan kos pengangkutan, ianya perlulah dipersetujui oleh deponen terlebih dahulu. Akan tetapi bayaran sumpah masih tertakluk kepada Kaedah 21 KKPS 1993 dan Seksyen 2 Perintah (Bayaran) Akuan Berkanun 1968.

ADUAN

Aduan boleh dikemukakan kepada Unit Pesuruhjaya Sumpah, Mahkamah Persekutuan Putrajaya melalui emel bpjs@kehakiman.gov.my atau melalui talian telefon 03-88809503.
Maklumat yang benar-benar sahih hanya boleh diperolehi dari Unit Pesuruhjaya Sumpah, Mahkamah Persekutuan Malaysia. Maklumat luar adalah diragui kesahihannya. Unit Pesuruhjaya Sumpah boleh dihubungi melalui emel bpjs@kehakiman.gov.my atau melalui talian telefon 03-88809503 / 03-88804040.

HASIL KUTIPAN PESURUHJAYA SUMPAH

Semua hasil kutipan Pesuruhjaya Sumpah yang dikutip oleh pegawai awam akan menjadi hasil kerajaan Malaysia manakala hasil kutipan Pesuruhjaya Sumpah dari kalangan peguam dan orang persendirian pula akan menjadi milik Pesuruhjaya Sumpah tersebut.
Semua pendapatan Pesuruhjaya Sumpah perlu dikenakan cukai dan dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

PEMBATALAN

Pelantikan Pesuruhjaya Sumpah adalah budibicara YAA Ketua Hakim Negara. Di dalam cadangan Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 2017, PJS yang telah dibatalkan tidak boleh untuk dilantik semula.

Copyright © Pesuruhjaya Sumpah 2017
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox Dan Chrome

Statistik Pelawat       » Atas Talian - 1      » Hari ini - 170      » Semalam - 202       » Minggu - 372       » Bulan - 2838       » Tahun - 6385       » Jumlah Keseluruhan - 7717